Burung Pemecah Rekod

Advertise in MyZooTaiping

Burung unta ialah salah satu daripada lebih 60 spesies burung yang tidak berupaya untuk terbang. Melalui evolusi, mereka telah kehilangan keupayaan untuk terbang.

Burung unta pernah didapati di seluruh Asia, Afrika dan Semenanjung Arab. Tetapi kini, julat habitat burung unta liar hanya berada sekitar kawasan Sub-Sahara Afrika, kerana pemburuan yang berlaku secara meluas.

Burung Unta jantan biasanya berwarna hitam dengan bulu putih di sayap dan ekor, manakala yang betina biasanya berwarna coklat. Kepala dan sebahagian besar leher berwarna kemerah-merahan hingga kebiruan. Kaki, termasuk paha tidak mempunyai sebarang bulu.

Mari dedahkan semua rekod yang dipegangnya.

Burung terbesar dan terberat

Ya, burung unta adalah burung terbesar di dunia. Burung unta ketinggian berdiri lebih tinggi daripada kebanyakan manusia, antara 7 hingga 9 kaki. Hampir separuh daripada ketinggiannya adalah bahagian leher. Dengan itu, ia juga merupakan burung paling berat di dunia. Ia boleh mencapai berat antara 100 hingga 160 kilogram.

Satu-satunya burung yang mempunyai 2 jari pada setiap kaki

Seperti mana yang diketahui, kebanyakan burung mempunyai 4 jari kaki pada setiap kaki. Tetapi ini tidak terpakai kepada burung unta. Ia satu-satunya burung yang mempunyai 2 jari kaki.

Advertise in MyZooTaiping

Mata terbesar dikalangan haiwan darat

Burung unta mempunyai kepala kecil dengan paruh pendek dan lebar. Ia juga mempunyai sepasang mata coklat yang sangat seksi dengan bulu mata hitam lebat. Mata cantik ini adalah yang terbesar dikalangan haiwan darat. Ia mempunyai  diameter kira-kira 5 cm, dan lebih besar daripada otaknya.

Bulu mata hitam lebat membantu menghalang pasir daripada memasuki matanya. Mata besar ini membantunya untuk mengenal pasti objek yang bergerak sejauh 3.5 km pada waktu siang dan 50 m pada waktu malam.

Menghasilkan telur terbesar

Telur burung unta adalah kira-kira 150 mm panjang dengan diameter 125 mm. Beratnya adalah lebih kurang 1.35 kg. Ini menjadikannya telur terbesar di kalangan haiwan darat yang hidup. Dengan itu, zuriatnya juga lebih besar daripada anak burung lain. Saiznya boleh sebesar ayam.

Burung terpantas di darat

Burung unta berlari pada kelajuan kira-kira 70 km/j. Kaki panjang mereka boleh meliputi 10 hingga 16 kaki dalam satu langkah. Semasa ia bergerak, ia menggunakan sayapnya sebagai “kemudi” untuk membantu mereka menukar arah.

Burung yang paling banyak diternak.

Populasi burung unta liar sebelum ini berkurangan  akibat pemburuan yang tidak terkawal. Tetapi sekarang, burung unta adalah burung yang paling banyak diternak di dunia. Bulu mereka biasanya digunakan untuk hiasan atau dijadikan sebagai penyapu bulu. Sementara itu, kulit mereka digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk kulit. Walaupun penternakan haiwan adalah kejam, ia membantu pertambahan populasi burung unta liar. Walaupun burung unta adalah spesies yang tidak terancam dalam  Senarai Merah IUCN, populasi mereka berkurang  lebih daripada 30% dalam tempoh 10 tahun akibat kemusnahan habitat semulajadinya.