Mereka Menghargai Kebebasan

LoDoPage Services

Jika anda berada jauh di dalam hutan hujan tropika di Asia Tenggara, anda mungkin terjumpa sejenis rusa berwarna coklat gelap dengan tanduk panjang. Jika anda tersesat di alam liar, tahniah, menjumpai mereka bermakna anda menghampiri sumber air.

Rusa Sambar, sejenis rusa yang mempunyai toleransi yang kuat terhadap perubahan persekitaran, berada di ambang kepupusan akibat diburu manusia.

Rusa Perenang Yang Terbaik

Rusa Sambar mempunyai pergantungan yang rapat dengan air. Mereka sangat menyukai air dan biasanya tinggal berhampiran sumber air. Mereka pandai berenang. Mereka menggunakan “mandi air” untuk menurunkan suhu badan selepas melakukan aktiviti lasak. Rusa Sambar lebih suka tumbuhan akuatik yang lembut, diikuti dengan daun pokok muda, daripada rumput. Orang ramai sering menemuinya di kawasan tanah lembap, semak dan kawasan yang serupa.

Boleh Menyesuaikan Diri dengan Baik dan Menghargai Kebebasan

Rusa Sambar mempunyai kebolehsuaian yang sangat tinggi. Selagi terdapat sumber air yang sesuai berdekatan, Rusa Sambar boleh hidup di mana-mana hutan, padang rumput, ngarai atau gunung. Mereka kebanyakannya mendiami hutan berdaun lebar, savana dan padang rumput antara 300 hingga 3,500 meter dari paras laut. Apabila mereka merasakan habitat yang didiami sudah tidak sesuai, ia akan dengan segera mencari habitat lain yang bersesuaian. Mereka tidak akan tinggal di satu tempat sepanjang masa.

Personaliti yang Teguh dan Berani

Rusa Sambar adalah rusa terbesar di kawasan tropika dan sub-tropika. Rusa jantan mempunyai tanduk tiga lapis yang panjang dan tebal, yang boleh mencapai panjang sehingga 1 meter. Oleh kerana warna badannya yang coklat gelap, ia juga dikenali sebagai “Rusa Hitam” di beberapa kawasan. Namun, rusa betina berwarna sedikit kemerah-merahan. Garis tengah coklat gelap di bahagian belakang, dari leher ke ekor, adalah salah satu ciri khas Rusa Sambar. Haiwan besar dengan surai singa ini juga merupakan salah satu rusa yang paling berani. Apabila bertemu dengan pemangsa, ia tidak lari seperti rusa lain. Sebaliknya, ia sering menghalau mereka.

Kadar Pembiakan Rendah Walaupun Kerap Mengawan

Tempoh pembiakan Rusa Sambar adalah fleksibel, dan ia boleh mengawan setiap bulan. Walau bagaimanapun, kapasiti pembiakan Rusa Sambar agak rendah. Rusa betina memerlukan 6 hingga 8 bulan untuk hamil. Setiap kehamilan hanya boleh menghasilkan seekor anak rusa, dan jarang anak kembar. Ia mengambil masa dua tahun untuk memelihara anak rusa ini. Dalam tempoh ini, mereka perlu memberi perhatian kepada harimau, buaya dan pemangsa lain. Sedikit kecuaian boleh menyebabkan anak rusa dalam bahaya.

LoDoPage Services

Sebab Kepentingan Komersial Meletakkan Mereka Dalam Bahaya

Bulu Rusa Sambar mempunyai nilai komersial yang tinggi. Semua anggota badannya terkenal dengan pelbagai kegunaan dalam kalangan pengamal perubatan tradisional. Tanduk di kepalanya sangat berharga. Oleh itu, ia sering diburu. Menurut Senarai Merah IUCN, Rusa Sambar adalah spesies yang sedang diancam. Oleh kerana taburannya berada dalam kawasan yang luas, jumlah bilangannya tidak dapat dianggarkan dengan tepat. Keterukan adalah berbeza-beza di kawasan yang berbeza. Di kawasan Asia Tenggara, bilangan mereka telah berkurangan lebih daripada 50%.

Ditulis oleh Zhang Yuming (INTI International University)