Rahsia Di Sebalik Jalur

LoDoPage Services

Walaupun ia mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan kuda dan keldai, ia mempunyai saiz yang lebih kecil serta perangai berbeza menjadikan mereka tidak sesuai untuk ditunggang, seperti kuda. Belang-belang mereka memudahkannya untuk dibezakan daripada kuda serta keldai.

Ya, mereka adalah zebra, ahli keluarga Equidae yang berasal dari Afrika timur dan selatan. Zebra Grevy, kuda belang gunung dan kuda belang dataran adalah 3 spesies yang masih hidup.

Tidak cepat, tetapi mempunyai stamina yang luar biasa

Zebra tidak dapat berlari sepantas kuda atau pemangsanya. Mereka hanya mampu berlari pada kelajuan yang boleh mencapai kira-kira 68 km/j. Walaubagaimanapun, mereka boleh berlari sejauh 1.6 km pada kepantasan tersebut. Ia boleh mengekalkan kelajuan pada 48 km/j pada jarak sehingga 19 km.

Nampak jinak, tetapi pandai mempertahankan diri

Zebra kelihatan tidak berbahaya. Namun begitu, ia menendang, menggigit dan menolak pemangsanya atau cubaan Zebra jantan lain mengambil alih kawanannya. Jika salah seekor Zebra diserang, zerba lain dalam kawanan terus akan datang mempertahankannya dengan membentuk bulatan atau separuh bulatan di sekelilingnya untuk menghalau pemangsa.

Belangnya yang unik, mempunyai fungsi juga

Lebar dan corak jalur pada badan Zebra adalah berbeza mengikut spesies dan unik secara individu, seperti cap jari kita. Belang mereka membantu melakukan penyamaran, kerana ia boleh mengalih perhatian dan mengelirukan pemangsanya. Berdasarkan penyelidikan telah dilakukan, fungsi lain adalah seperti mengawal perosak. Mereka melindungi Zebra daripada gigitan lalat.

Bukan sahaja comel, tetapi dilahirkan untuk terus hidup

Mereka mendiami habitat berbahaya yang penuh dengan haiwan pemangsa. Oleh itu, anak kuda yang baru lahir boleh berdiri selepas 6 minit dilahirkan. Mereka boleh berjalan selepas 20 minit dan berlari selepas kira-kira 40 hingga 60 minit.

Advertise in MyZooTaiping

Nampak berat, tetapi merupakan pendaki yang mengagumkan

Zebra boleh mempunyai berat sehingga 450 kg. Namun begitu, mereka boleh ditemui di atas gunung dengan ketinggian mencapai 14,000 kaki. Kuku mereka yang keras dan runcing menjadikannya sebagai pendaki yang mengagumkan.

Bukan sahaja pandai bersosial, tetapi juga kuat berceloteh

Zebra sering kelihatan hidup dalam kawanan yang terdiri daripada seekor jantan, beberapa ekor betina dan anak-anak. Ia juga berkomunikasi secara lisan selain secara bukan lisan. Mereka menghasilkan bunyi seperti rengek, salakan, dan dengusan untuk berkomunikasi.

Saiz kecil, tetapi sentiasa lapar

Walaupun bersaiz lebih kecil berbanding dengan kuda, ia menghabiskan kira-kira 22 jam sehari untuk makan. Makanan kegemaran Zebra ialah rumput, kulit kayu, buah-buahan dan daun. Sistem pencernaan mereka disesuaikan untuk menghadam makanan berserat tinggi.

Tidur, tetapi tak pernah berbaring

Zebra mempunyai sendi yang boleh dikunci, sama seperti haiwan berkuku lain. Ia boleh tidur sambil berdiri berkat mempunyai sendi yang sedemikian, yang menghalang ia daripada terbalik, sewaktu tidur. Penyesuaian ini memastikan zebra dapat melarikan diri dengan cepat sekiranya diancam. Mereka hanya berbaring apabila menikmati tidur yang lena.

Unik, tetapi masih paling banyak dibiakkan

Zebra adalah lebih sihat dan kurang terdedah kepada penyakit berbanding dengan “equine” lain mereka. Walau bagaimanapun, proses penjinakannya kurang berjaya. Oleh itu, manusia melakukan proses pengacukan ke atas zebra pada abad ke-19, menghasilkan spesies baru yang dikenali sebagai “zebroid”. Progeni daripada kacukan Zebra jantan dengan kuda betina dikenali sebagai “zorses”. “Zoni” ialah progeni kacukan zebra jantan dan kuda padi betina. Zenkey, zonkey, zebrass, atau zedonk ialah nama untuk kacukan zebra-keldai.

Sudah terancam, tetapi tiada siapa yang peduli

Kesemua 3 spesies zebra yang hidup berada dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Zebra Grevy adalah yang paling berisiko, dengan populasi kurang daripada 2000. Pemburuan dan kehilangan habitat adalah ancaman utama kepada populasi zebra.